Perang Mu'tah "Taktik Perang Khalid Al-Walid" Perang Mu'tah "Taktik Perang Khalid Al-Walid"
Perang Mu'tah "Taktik Perang Khalid Al-Walid" - Setelah mencapai perjanjian dengan Golongan Musyrikin Mekah sewaktu peristiwa Hudaibiyyah. Nabi SAW mula menumpukan usaha dakwah dan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan dan empayar-empayar besar sekeliling Madinah. Baginda mengutuskan utusannya kepada Empayar Rom, Parsi, Yaman, Najran dan Ghassan.
Namun kerajaan Ghassan, sebuah kerajaan Arab kristian yang bernaung di bawah Empayar Rom [Byzantine] telah membunuh utusan baginda SAW, Al-Harith Bin Umair Al-Azdi. Ini membangkitkan kemarahan baginda SAW walaupun ada utusan yang diejek namun belum pernah lagi dibunuh.
Setelah itu baginda SAW menyiapkan angkatan tentera yang terdiri daripada 3 ribu orang. Ia merupakan pengalaman kali pertama tentera Islam berjihad di luar bumi Hijaz dalam keadaan cuaca sejuk melanda bumi Syam ketika itu. Namun agak ganjil pada kali ini apabila Rasulullah SAW telah mewasiatkan sesuatu yang tidak pernah dilakukan iaitu menamakan pengganti panglima tentera jika panglima utama, Zaid bin Harithah syahid.
Sabda Nabi SAW;
“Jika ia mati syahid dalam peperangan, maka Ja'far bin Abi Thalib ra. menggantinya sebagai pemimpin pasukan. Jika ia juga mati syahid, maka pemimpin pasukan digantikan oleh Abdullah bin Rawahah r.a. Jika ia juga mati syahid, maka terserah kaum muslim untuk memilih siapa pemimpinnya.”
Setelah mendengar kemaraan tentera islam, Syarhabil Bin Amru [Pemerintah Ghassan] telah mengumpulkan 100 ribu bala tenteranya. Dalam masa yang sama, Maharaja Hercules [Maharaja Rom] telah menyiapkan 100 ribu lagi tentera dalam usaha membantu kerajaan naungannya itu.
Tatkala mengetahui jumlah tentera musuh, tentera muslimin berhenti di Ma’an berbincang samada ingin meneruskan misi ataupun memaklumkan terlebih dahulu kepada Rasulullah SAW. Namun Abdulllah bin Rawahah yang terkenal sebagai seorang penyair meniupkan semangat kaum muslimin agar terus berjuang agar memperolehi kemenangan dunia ataupun ganjaran syahid di akhirat.
Perang berlaku dengan sengitnya pada tahun ke 8 hijrah [629 masihi]. Pasukan musuh menumpukan serangan kepada pemegang panji tentera muslimin, Zaid bin Harithah yang berakhir dengan kesyahidan beliau. Kemudiannya panji islam disambar oleh Ja'far Bin Abi Tolib, ditetak tangan kanan, kemudian tangan kiri dan akhirnya syahid juga. Seperti wasiat Nabi SAW dan akhirnya giliran Abdullah bin Rowahah yang meneruskan penentangan tentera islam.
Namun beliau juga syahid. Setelah itu, panji tentera dipegang oleh seorang sahabat Thabit bin Arqam yang meminta agar tentera Islam bermesyuarat untuk memilih penglima baru. Akhirnya Khalid Al Walid yang sewaktu itu baru memeluk Islam dilantik sebagai panglima atas pengalaman beliau sebelum ini.
Teknik Perang Khalid Al-Walid
Khalid menyedari jumlah bilangan tentera Islam tidak akan mampu mengalahkan kekuatan musuh yang 50 kali ganda lebih ramai. Bahkan, pasukannya mungkin binasa jika berterusan bertempur. Akhirnya Khalid Al Walid memilih untuk melakukan satu perancangan.. Iaitu...
Membahagikan tentera kepada 3 kumpulan..
- Barisan hadapan / Barisan belakang
- Sayap kanan / Sayap kiri
- Pasukan berkuda di belakang
Dengan kedudukan demikian, Khalid menukarkan sayap kanan dengan sayap kini dan barisan belakang dengan barisan hadapan. Manakala pasukan berkuda di belakang menaikkan debu dan melaungkan takbir.
Ini menjadikan pasukan musuh melihat wajah yang berbeza-beza dikalangan tentera islam dan menyangka pasukan Khalid telah menerima bantuan. Begitu juga melihat debu-debu seakan-akan bantuan baru tiba.
Setelah itu, Khalid mengundurkan tenteranya langkah demi langkah dan pasukan musuh juga turut berundur kerana mereka tidak berani menanggung risiko.
Detik-detik peperangan ini diceritakan oleh Baginda SAW kepada penduduk Madinah. Sabda baginda SAW:
أخذ الراية زيد فأصيب ، ثم أخذ جعفر فأصيب ، ثم أخذ ابن رواحة فأصيب ـ وعيناه تذرفان ـ حتى أخذ الراية سيف من سيوف الله ، حتى فتح الله عليهم
“Bendera dibawa oleh Zaid, beliau jatuh kemudian ianya diambil oleh Jaafar dan beliau jatuh lantas diambil oleh Ibni Rawahah, Ibnu Rawahah pun gugur, [di masa itu Rasulullah berlenang air mata] hinggalah bendera Islam dicapai oleh salah satu daripada Pedang Allah maka dengannya pembukaan pun selamat terlaksana.”
Tiba di Madinah, penduduknya mencemuh Khalid Al Walid yang dianggap melarikan diri dari medan perang namun Nabi SAW bersabda;
ليسوا بالفرار ولكنهم الكرار إن شاء الله
“Mereka bukanlah melarikan diri tetapi akan menyerang kembali dengan izin Allah..”
Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar dalam perang Mu'tah. Antaranya :
- Maruah Islam mesti diutamakan. Ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW menghantar bala tentera demi menuntut pembelaan utusan baginda SAW yang dibunuh.
- Syura adalah satu keperluan dalam peperangan. Ini dapat dilihat bagaimana Zaid Bin Harithah bermesyuarat dengan pasukannya tatkala menghadapi jumlah musuh yang terlalu ramai. Begitu juga tentera Islam bermesyuarat memilih Khalid sebagai panglima menggantikan Abdullah Bin Rawahah.
- Peperangan memerlukan teknik. Berundur bukan bermakna mengalah. Ini dapat dilihat melalui pengiktirafan baginda SAW terhadap tindakan Khalid.